KABONG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak telah menahan seramai 76 individu dalam operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Sapu di sekitar Kabong semalam.

Menurut kenyataan JIM Sarawak hari ini menyatakan operasi ini dijalankan oleh Unit Penguatkuasa Imigresen Sarikei dengan kerjasama Pasukan Tindakan Khas (PTK).

“Ia melibatkan kekuatan seramai 24 anggota penguatkuasa. Sebanyak 81 individu telah diperiksa dalam operasi yang menyasarkan dua lokasi berbeza di Kabong ini.

“Daripada jumlah yang ditahan, seramai 62 lelaki dan 14 wanita telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya.

Kesemua mereka disyaki telah melakukan pelanggaran di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta peraturan-peraturan yang berkaitan.

“Penahanan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JIM untuk membanteras aktiviti pendatang tanpa izin dan memastikan pematuhan undang-undang negara.

“Pihak berkuasa sekali lagi mengingatkan kepada para majikan dan pemilik premis di seluruh negara agar sentiasa memastikan mereka mematuhi undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melindungi atau menggaji pendatang tanpa izin, demi menjaga kedaulatan undang-undang dan ketenteraman awam khususnya di Sarawak,” ujarnya.